Monday, October 18, 2010

Ulam yang Enak dari jenis Pokok Saka dan Renek

Tebengau















Pokok tebengau adalah pokok jenis saka yang tumbuh biasanya di tepi-tepi sungai. Ia merupakan sejenis pokok yang boleh mencapai ketinggian sehingga 10 meter. Kulit batangnya berwarna coklat kelabu.

Pucuk mudanya berwarna kemerah-merahan boleh dimakan secara mentah. Rasanya sedikit manis dan sedikit kelat tetapi rangup.

Pokok tebengau sesuai ditanam di dalam pasu untuk kawasan yang kecil. Pokok tebengau boleh dibiakkan dengan menggunakan keratan dahan atau kaedah tut. Pertumbuhan pucuk pokoknya agak cepat, maka ia perlu sentiasa dipangkas.


Putat














Pokok putat biasanya ditemui tumbuh di lembah-lembah, tepi sungai dan kawasan tanah lembap. Ketinggian pokok putat mencapai sehingga 28 meter. Daun putat berbentuk bujur, panjang dan tebal dengan bahagian tepi bergerigi kecil. Daun muda di bahagian pucuk berwarna merah keunguan dan apabila matang daunnya berubah menjadi hijau tua.

Pucuk dan buah putat biasanya dibuat ulaman, kerabu atau sebagai ulaman dalam laksa. Rasanya enak dan sedikit kelat.

Cara pembiakan putat adalah dengan menyemai biji benih atau kaedah tut.


Gajus

Poko gajus adalah rendang yang biasanya ditanam di tepi sawah untuk teduhan. Ia mempunyai daun yang lebar dan licin. Pucuknya boleh dimakan dan sering diambil bagi dimakan dengan dicicah budu. Rasanya yang lemak-lemak dan kelat.

Pokok gajus dibiakkan dengan menggunakan biji benih atau kaedah tut. Ia boleh ditanam di dalam pasu.


Bebuas














Pokok bebuas adalah tumbuhan renek berbatang lembut. Ulam bebuas dijual biasanya di pasar-pasar tani. Pokok ini mudah tumbuh di tepi pagar.

Pucuk mudanya berwarna hijau muda dan boleh dimakan mentah atau direbus untuk dijadikan ulam. Pucuknya rangup dan mempunyai rasa sedikit pahit boleh menambahkan selera makan terutamanya jika dicicah dengan sambal belacan.

Antara khasiat bebuas ialah ianya dapat membuang angin di dalam badan, mengatasi masalah kecacingan dan menambah susu badan bagi kaum ibu.

Pokok bebuas boleh dibiakkan dengan menggunakan keratan dahan atau kaedah tut.


Tenggek burung
















Pokok Tenggek Burung hidup biasanya hidup meliar di kawasan ladang dan belukar. Daunnya bercabang tiga. Sebab itu ia juga dinamakan juga sebagai pokok cabang tiga.

Pucuk muda tenggek burung boleh dimakan mentah. Rasanya amat sedap, rangup dan sedikit pahit.


Lemak ketam


Pokok lemak ketam adalah dari jenis pokok renek. Daun pokok lemak ketam membulat dan lebar. Pucuk mudanya berwarna hijau muda.

Pokok lemak ketam tumbuh meliar di kawasan padang atau berhampiran dengan kawasan pantai.

Daun pucuk mudanya boleh dimakan mentah sebagai ulam. Rasanya rangup dan tidak pahit.


Beluntas
















Pokok beluntas boleh didapati di pasar tani. Beluntas merupakan tumbuhan semak yang bercabang banyak, berusuk halus, dan berbulu lembut. Tumbuhan ini biasanya ditanam sebagai tanaman pagar. Tingginya bisa mencapai 3 meter jika tidak dipangkas. Pokok beluntas memerlukan cukup cahaya matahari atau sedikit naungan.

Daun beluntas dimakan mentah sebagai ulam. Bau daun beluntas menyegarkan dan dapat meningkatkan nafsu makan.

Pokok beluntas boleh dibiakkan dengan mudah menggunakan cara keratan batang.

No comments:

Post a Comment